Presiden MCA menrangkap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan seorang lelaki membuat lakaran ayat pada perasmian Blossom Art Festival 2017 di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 1 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Festival Kesenian Blossom Malaysia 2017 yang bermula hari ini hingga 31 Ogos depan adalah satu manifestasi kebudayaan dan kesenian rakyat berbilang kaum, kata Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Presiden MCA itu berkata, festival yang menonjolkan kepelbagaian budaya bangsa rakyat Malaysia itu merupakan kekuatan negara untuk terus menangkis segala anasir jahat untuk membentuk negara maju yang diinginkan rakyat.

“Keistimewaan festival kali ini adalah berlangsung sepanjang bulan sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 negara kita pada 31 Ogos ini.

“Ia sangat bertepatan dengan masa sambutan Merdeka untuk menyemarakkan semangtat patriotik dan warna warni kebudayaan dan perpaduan rakyat berbilang bangsa negara ini.

“Lebih 100 pertubuhan kebudayaan tempatan dan para peserta dari tujuh buah negara juga menyertai festival ini untuk mempamerkan persembahan kesenian masing-masing dengan ruang yang disediakan percuma oleh Wisma MCA,” katanya selepas melancarkan majlis di Jalan Ampang di sini.

Hadir pada majlis, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Kah Siong dan Presiden myPPP merangkap Penasihat Khas Menteri Pengangkutan, Tan Sri M. Kayveas.

Tambah Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan, kebudayaan pelbagai bangsa digunakan untuk menyatukan rakyat.

“Festival kali ini mensasarkan lebih 30,000 pengunjung masyarakat berbilang kaum untuk memeriahkan majlis sepanjang Ogos sesuai dengan tema ‘Negara Ku’.

“Bermula hari ini, persembahan kebudayaan akan berlangsung pada setiap malam sehingga 31 Ogos ini. Ini tradisi MCA untuk menarik masyarakat untuk menyatukan rakyat berbilang kaum.

“Ia juga akan memberi kekuatan untuk MCA dan negara terus mengamalkan kesederhanaan, perpaduan dan diversiti,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette