Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

KUALA LUMPUR – Ahli seumur hidup PKR yang dipecat, Badrul Hisham Shaharin mendakwa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali sudahpun memuktamadkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

Menurut Badrul atau Chegubard itu, PKR dan DAP masing-masing membolot 15 kerusi dan bakinya dibahagikan kepada tiga parti lain antaranya Parti Amanah Negara (PAN), Pas dan PPBM.

Namun yang menarik perhatian adalah jumlah kerusi yang diperuntukkan Azmin kepada PPBM adalah melebihi kerusi PAN, iaitu sebanyak 11 kerusi manakala PAN hanya diberikan dua kerusi DUN.

Tindakan itu mencerminkan kepimpinan Azmin tidak pasti akan kemenangan PAN sekiranya diberikan lebih daripada dua kerusi.

“Dengarnya (Datuk Seri) Azmin sudah muktamadkan agihan kerusi di Selangor, bukan kata PH parti dia sendiri pun dia langgar putuskan bincang sama kartel je…

“Tahniah Amanah (PAN) dapat 2 kerusi SAHAJA…,” tulis Chegubard dalam Facebook beliau hari ini.

Pas yang mengangkat Azmin selaku Menteri Besar pula hanya diberikan 13 kerusi sama seperti yang dimiliki parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di negeri itu.

Untuk rekod, kerajaan negeri pimpinan Azmin memerlukan sebanyak 29 daripada 56 kerusi DUN Selangor untuk mengekalkan pemerintahan. – MalaysiaGazette