Syamsul Yusof

KUALA LUMPUR – Syamsul Yusof melakar sejarah apabila sentuhan magis dalam filem Munafik melayakkan dirinya dipilih sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja, malam tadi.

Berita gembira itu dikongsi Syamsul, 34, menerusi laman Instagram miliknya sambil menganggap kemenangan itu adalah di atas rezeki Allah.

“Nikmat itu dari Allah. Hakikatnya apa yang ada hanyalah pinjaman. Secebis bakat dan ilham dari Tuhan pada kita sekecil-kecil hambaNya,” kata pelakon, penyanyi dan sutradara itu.

Pada masa sama, kemenangan itu menjadikan Syamsul sebagai sutradara kedua Malaysia yang dinobatkan gelaran Pengarah Terbaik selepas Allahyarham Yasmin Ahmad mencipta sejarah pada festival sama 7 tahun lalu.

Allahyarham diiktiraf sebagai Pengarah Terbaik untuk filem Mualaf yang juga filem terakhir sentuhannya pada penganjuran FFAP ke-54 yang berlangsung di Taipei pada Disember 2010.

Sementara itu, selain kemenangan Syamsul, delegasi negara juga meraih kegembiraan berganda hasil kemaraan filem Ola Bola yang juga terbitan Astro Shaw apabila membawa pulang trofi Suntingan Terbaik.

FFAP adalah anjuran Federation of Motion Picture in Asia Pacific (FPA).

Malaysia sebelum ini pernah meraih anugerah utama lakonan termasuk menerusi Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang menerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada festival ke empat tahun 1957 selain Maya Karin pada FFAP ke-49 (2004) serta Datin Seri Tiara Jacquelina pada FFAP ke-50 (2005).

Terdahulu, Munafik yang turut mencipta sejarah di industri perfileman tempatan apabila mencatat kutipan keseluruhan sebanyak RM19 juta turut menjadi Filem Terbaik Nasional di Festival Filem Malaysia tahun lalu manakala Syamsul pula meraih Pengarah Terbaik.

Sebelum ini juga Syamsul kerap meraih pengiktirafan di atas hasil kerjanya di arena dunia perfileman tempatan.

Malah beliau melakar sejarah peribadi serta mencipta sejarah sepanjang penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) apabila diangkat sebagai Pengarah Filem Terbaik menerusi Evolusi KL Drift pada usia 26 tahun. – MalaysiaGazette