Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut ijazah kedoktoran yang mengambil ganja bagi menghilangkan tekanan dalam pengajiannya, bernasib baik apabila Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini menjatuhkan hukuman bon berkelakuan baik terhadapnya.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Teh Eu Shaun, 20, yang mengambil jurusan pergigian selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis ganja seberat 2.75 gram dan menggunakan dadah itu.

Dia melakukan kedua-dua kesalahan itu di Jalan Dagang 6/3, Taman Dagang, di sini pada 3.15 petang, 7 Mac lepas dan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya, di sini pada 5.25 petang, hari yang sama.

Mahkamah memerintahkan anak sulung daripada dua beradik itu menjalani bon berkelakuan baik di bawah Seksyen 173(f) Kanun Tatacara Jenayah selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000 dan jaminan RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Dony Abdullah yang mewakili tertuduh supaya anak guamnya dikenakan hukuman bon berkelakuan baik.

Tertuduh didakwa memiliki ganja mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya manakala pertuduhan menggunakan ganja adalah di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 dan pengawasan polis.

Mengikut fakta kes, anggota polis yang sedang melakukan rondaan telah melihat tertuduh dalam keadaan mencurigakan di dalam kereta dan hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dadah itu yang disimpan di dalam kotak rokok di dalam poket seluarnya.

Ketika rayuan Dony memberitahu mahkamah anak guamnya seorang pelajar yang cemerlang, berpotensi menjadi seorang doktor dan merupakan harapan keluarga dan hukuman denda atau pemenjaraan akan menyebabkan masa depan tertuduh gelap.

“Tertuduh mengaku mengambil ganja untuk menghilangkan tekanan. Saya ada menasihatinya dan dia benar-benar insaf, dia boleh berubah dan mohon diberikan peluang kedua.

“Jika dilihat dari jumlah berat bersih dadah sebanyak 2.75 gram, saya percaya tidak ada tujuan pengedaran di situ. Pohon hukuman bon kelakuan baik yang tidak memberikan rekod jenayah untuk masa depan tertuduh,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira penemuan dadah tersebut di dalam poket tertuduh yang membuktikan pemilikan secara terus tertuduh terhadap dadah itu selain kes seumpama yang semakin meningkat di negara ini.

— BERNAMA