pengajar yang diibaratkan sebagai
Gambar hiasan
PUTRAJAYA – Seorang pembantu kedai kek hari ini dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah melakukan kontak fizikal dengan memeluk dari belakang seorang pelajar perempuan berumur 15 tahun, bulan lepas.

Hakim Yong Zarida Sazali memerintahkan Mohd Nazrin Rabuan, 21, menjalani hukuman bermula dari tarikh dia tangkap pada 31 Julai lepas.

Tertuduh merupakan pesalah pertama di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 selepas akta itu dikuatkuasakan tahun ini.

Dia melakukan perbuatan itu di sebuah hotel, di Bandar Puteri Puchong, Puchong, antara jam 3 pagi hingga 5 pagi, pada 20 Julai lepas mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Menurut fakta kes mangsa mengenali kawan tertuduh melalui aplikasi weechat dan pada hari kejadian remaja perempuan itu telah mengikut kawannya dan tertuduh serta bermalam di hotel tersebut.

Pada jam 3 pagi, remaja itu menangis dan apabila dia minta dihantar pulang, tertuduh datang lalu memeluk mangsa dari belakang.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon maaf atas perbuatannya dan dia juga kesal atas kejadian itu.

Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhi hukuman yang setimpal.

— BERNAMA