Jamil Khir Baharom

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) bagi meningkatkan sistem perundangan syariah secara menyeluruh di negara ini.

Penubuhan itu mendapat kelulusan dan persetujuan Jemaah Menteri yang bermesyuarat di Putrajaya semalam.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, penubuhan JKMMS itu selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, signifikan penubuhan JKMMS membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam usaha memperkasakan Mahkamah Syariah secara holistik demi maslahah dan kepentingan umat Islam.

“Inisiatif ini membuktikan kerajaan prihatin dan peduli terhadap semua input yang diterima dengan menubuhkan satu Jawatankuasa yang akan melibatkan semua pihak yang berkenaan.

“JKMMS adalah satu platform yang berwibawa bagi menambahbaik sistem perundangan kehakiman syariah sedia ada,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Menurut Jamil Khir, jawatankuasa itu juga akan mewujudkan beberapa kluster yang akan membincangkan beberapa perkara seperti pengharmonian antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah serta cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Katanya, jawatankuasa itu juga turut membincangkan hal berkaitan pengurusan dan penstrukturan Mahkamah Syariah; latihan hakim dan pegawai syariah; pendidikan undang-undang syariah dan hal ehwal berkaitan Peguam Syari’e.

Keanggotaan JKMMS melibatkan wakil Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN), ahli akademik dan cendekiawan, wakil Jabatan Peguam Negara, aktivis masyarakat dan mantan pimpinan tertinggi sektor awam serta tokoh berwibawa dan berpengalaman dalam hal perundangan di Mahkamah Sivil serta Mahkamah Syariah. – MalaysiaGazette