Wilfred Madius Tangau

PENAMPANG – Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) kini memiliki pasukan ‘tentera maya’ yang berkemampuan menyerang dan menangkis segala tohmahan parti pembangkang pada Pilihan Raya Umur ke-14 (PRU-14)

Presidennya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata pasukan tentera maya berkenaan akan dilengkapkan dengan maklumat dan data tepat bagi membolehkannya menjawab segala fitnah, pembohongan dan tohmahan terhadap kerajaan serta parti.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, antara punca kekalahan calon Barisan Nasional (BN) dari Upko di Penampang pada pilihan raya lalu berpunca daripada ketidak mampuan jentera parti itu menyerang dan membalas serangan pembangkang menerusi media maya.

“Kalau dahulu, apabila diserang kita terduduk sahaja, pelbagai tohmahan, pembohongan dan fitnah dibuat dan kita tidak mampu membalasnya. Kita tidak mempunyai tentera maya seperti dimiliki pembangkang.

“Kali ini kita ada dan kita sudah bekerja sekian lama. Kita ada Biro Multimedia dan Komunikasi, ” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Makan Malam Ulang Tahun Upko Ke-23 di Pusat Kebudayaan Sabah di sini, malam tadi.

Mengenai kombinasi parti komponen BN di Penampang untuk menghadapi PRU-14 akan datang, Madius berkata, kombinasi parti komponen di kawasan berkenaan kini pada tahap terbaik.

Katanya Upko Penampang dan bahagian parti itu di seluruh negara akan bekerja sebagai satu pasukan dengan parti komponen BN lain bagi memastikan kemenangan memihak kepada BN.

Mengenai calon yang bakal diketengahkan parti itu pada PRU-14, beliau berkata, Upko sudah ada calon dan mereka adalah calon terbaik.

Mengenai 13 kerusi tambahan untuk Dewan Undangan Negeri di Sabah, Madius berkata, Upko hanya akan meminta kerusi yang parti itu yakin ada kekuatan untuk memenangkan BN di kawasan berkenaan.

“Buat apa kita bertanding di satu-satu kerusi tetapi lepas itu kalah, ” katanya.- BERNAMA