Dr. Mahathir Mohamad SAFWAN MANSOR

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencabar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyemak akaunnya selepas syarikat milik dua anaknya diserbu agensi pengutip cukai tersebut.

Beberapa syarikat milik anaknya, Datuk Seri Mokhzani Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir diserbu LHDN pada Selasa lalu.

Antara syarikat yang dikaitkan dengan serbuan tersebut adalah Kencana Capital Sdn Bhd, Opcom Holdings Bhd dan Crescent Capital Sdn Bhd.

“Mereka mempunyai hak. Mereka boleh buat apa sahaja, mereka adalah kerajaan. Mereka ada kuasa untuk disalahguna,” katanya dalam satu sidang media Majlis Pimpinan Pakatan Harapan di Parlimen hari ini.

Beliau juga tidak kisah dengan serbuan tersebut dan mencabar supaya ia lebih kerap dilakukan.

“”Saya fikir kita patut adakan serbuan lebih kerap,” katanya lagi.

Bekas perdana menteri mengulas mengenai serbuan agensi kerajaan terhadap syarikat anaknya sejak beberapa hari lalu.

Tindakan itu didakwa mempunyai motif tertentu kerana status Dr Mahathir sebagai seorang daripada pemimpin utama pembangkang.

Ia juga dipertikaikan kerana dibuat beberapa hari selepas beberapa pemimpin menggesa pihak berkuasa menyiasat kekayaan keluarga Mahathir. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.