Bekas Pengersui FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (tengah) ditahan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 20 Ogos berhubung pembelian dua hotel Felda Investment Corporation (FIC) di Mahkamah Majistret, Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2017.⁠⁠⁠⁠

PUTRAJAYA – Sosok personaliti memang cukup dikenali dengan sifat yang ceria dan sentiasa tersenyum.

Mana-mana majlis atau sidang media yang dihadiri, beliau kekal menyuntik suasana humor dan kegembiraan bagi mewujudkan suasana mesra.

Karakter itu jugalah yang dibawa oleh bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Behad (FGV) , Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad ketika tiba di perkarangan mahkamah di sini pada pagi tadi.

Sebaik keluar dari kenderaan, Mohd. Isa tersenyum kepada orang ramai yang hadir. Tiada riak wajah takut atau malu sebaliknya senyuman manisnya masih terukir seperti biasa.

Sejurus itu, isteri beliau, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid yang tiba lebih awal kelihatan menuju ke arah Mohd. Isa dan mereka berpelukan.

Ketika bekas menteri kabinet itu dibawa ke Mahkamah Majistret, Mohd. Isa masih terus ceria walaupun berdepan asakan pihak media yang ingin mengambil gambarnya.

Di sebalik keceriaan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, wajah Bibi Sharliza pula seperti kegelisahan. Ketika menunggu suaminya datang, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi itu seolah-olah berdebar dan menanti buah yang tidak gugur.

Isteri, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid (tengah) bersama anak-anaknya dan ahli keluarga menunggu ketibaan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di mahkamah berhubung pembelian dua hotel Felda Investment Corporation (FIC) di Mahkamah Majistret, Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2017.

Ketika berselisih dengan bekas Setiausaha Puteri UMNO itu, wajahnya yang tidak bermekap kelihatan kusam dan bebola mata membayangkan apa yang terbuku di hatinya.

Apa yang menarik, dua karekter berbeza suami isteri itu menjadi perhatian ramai.

Kemuncaknya, Mohd. Isa telah direman selama lima hari untuk membantu siasatan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan dalam pembelian pembelian sebuah hotel di London pada 2014 dan 2015 oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamarudin sehingga 20 Ogos ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkannya disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Ketika dibawa keluar hingga hingga ke lobi mahkamah, suasana bergema dengan laungan, “hidup Tan Sri”.

Mohd. Isa diwakili seramai tujuh orang peguam yang diketuai oleh Datuk K. Kumaraendran yang meminta supaya anak guamannya dibebaskan kerana berdepan masalah kesihatan iaitu penyakit jantung selain telah memberi kerjasama sepanjang siasatan dilakukan SPRM sejak dari awal.

Sementara itu mengenali, Mohd. Isa, pada tahun 2005, Mohd. Isa yang juga bekas Naib Presiden UMNO itu pernah mencetus kontroversi apabila Lembaga Disiplin parti itu menggantung keahliannya selama tiga tahun berhubung amalan politik wang dalam Perhimpunan Agung UMNO 2004 selepas menangi jawatan naib presiden.

Beliau bersalah terhadap lima daripada sembilan pertuduhan politik wang. – MalaysiaGazette