Reaksi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Petaling Jaya. foto SAFWAN MANSOR, 14 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Memali.

Dalam entri terbaharu dalam blognya, bekas Perdana Menteri itu mendakwa mempunyai bukti dan senarai nama individu yang terlibat secara langsung dalam tragedi berdarah tahun 1985 itu.

“Sekarang ini musim RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) dan bermacamlah siasatan yang telah disyorkan.

“Saya mengalukan RCI untuk peristiwa Memali. Saya punyai banyak bukti, laporan dan cerita berkenaannya. Ini termasuk individu-individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung,” katanya.

Pas hari ini bersetuju agar pihak kerajaan membentuk RCI bagi mengadakan siasatan terhadap insiden yang berlaku ketika Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri.

Malah, Pas bersetuju sekiranya presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipanggil sebagai saksi berhubung kejadian Memali.

Bercakap mengenai Pas, Mahathir berkata, ‘Amanat Haji Hadi’ turut mempunyai kaitan dengan peristiwa itu.

Ujarnya, amanat yang disampaikan oleh Hadi itu telah menggalakkan perjuangan melawan kerajaan dan menyebabkan seramai 18 orang mati termasuk anggota keselamatan.

“Untuk memulakan siasatan RCI Memali saya siar di sini “Amanat Haji Hadi”. Ianya ada kaitan rapat dengan peristiwa Memali. Amanat ini menggalakkan perjuangan lawan kerajaan sebagai jihad dan kematian pejuang adalah syahid,” jelas Mahathir lagi.

Tambah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu, selain orang awam, seorang inspektor dan seorang sarjan polis terbunuh manakala seorang lagi konstabel cedera parah.

Isu Memali kembali hangat apabila timbul kekecohan pada forum Nothing to Hide 2.0 yang berlangsung di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor pada 13 Ogos lalu.

Sekumpulan peserta yang tidak berpuas hati dengan penjelasan beliau tiba-tiba membaling kasut dan disusuli suar, kerusi dan botol air ke arah pentas khas yang disediakan di mana Mahathir berdiri ketika itu.-

Isu Memali pernah menjadi kontroversi beberapa tahun lalu apabila bekas timbalannya, Tun Musa Hitam mendakwa ketika kejadian Mahathir berada dalam negara bukan diluar negara seperti dimaklumkan.

Bagaimanapun, Mahathir ketika ditanya secara berseloroh mendakwa beliau sudah lupa sama ada beliau ada di dalam negara atau tidak ketika peristiwa Memali.- MalaysiaGazette