Teng Chang Yeow

PULAU PINANG – Parti Gerakan Pulau Pinang menyifatkan DAP sebagai sebuah parti yang gagal berikutan pelbagai isu dan kontroversi yang dihadapi pemimpinnya.

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata, paling ketara adalah tuduhan rasuah yang dihadapi pemimpinnya termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang kini didakwa di mahkamah.

Menurut beliau, dakwaan rasuah itu dihadapi ketika parti berkenaan mendakwa kononnya mengamalkan budaya politik bersih, telus dan akauntabiliti.
“DAP juga terbukti sebagai parti gagal selepas melanggar prinsip kebebasan bersuara yang kononnya diperjuangkan mereka menerusi tindakan saman terhadap pihak yang mengkiritik mereka khususnya media,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Chang Yeow yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang turut menyifatkan DAP parti yang gagal selepas membiarkan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengetuai Pakatan Harapan.

Menurut beliau, sebagai parti yang mempunyai majoriti kerusi dalam Pakatan Harapan, DAP sepatutnya mengetuai pakatan pembangkang berkenaan dan tidak mengalah kepada Dr. Mahathir.

“Malangnya, DAP dalam Pakatan Harapan kini dipimpin Dr. Mahathir sedangkan selama ini bekas Presiden UMNO itu dilabel sebagai musuh utama dalam kalangan ahli-ahli DAP,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama dengan Pas sebelum ini juga adalah bukti DAP sebuah parti yang gagal kerana pemipin parti berkenaan selama ini menentang keras idea penubuhan negara Islam yang diperjuang Pas. – MalaysiaGazette