Reaksi ceria Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Naib-Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tiga kiri), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien (dua kiri) dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) selepas sidang media dan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUAIREY SALIM, 24 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – “Pilihan raya (diadakan) bila-bila masa sahaja. Malah, (jika) tarikh PAU kalau ada pilihan raya kita tangguhkan sahaja”

Itu seloroh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ditanya bila tarikh pilihan raya umum dan sekiranya ia bertindih dengan tarikh PAU (Persidangan Agung UMNO) tahun ini.

 

Terdahulu, Najib yang juga Presiden UMNO dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti itu mengumumkan PAU akan diadakan bermula pada 5 hingga 9 Disember ini.

Dalam pada itu, Najib berkata, jentera parti itu sudah berada dalam keadaan bersiap-sedia dan mesyuarat bahagian yang berakhir baru-baru ini memperlihatkan tahap disiplin yang tinggi dalam kalangan ahli-ahli parti.

“Persidangan peringkat UMNO bahagian telah berjalan dengan baik dan mendapat sambutan dan disiplin pun baik tidak ada kerusi melayang dan sebagainya.

“Semangat pun tinggi dan kita harap jentera parti berada dalam keadaan siap siaga namun kerja-kerja untuk memurnikan segala-galanya menjelang PRU-14 perlu diadakan,” katanya lagi.

Menurut Najib, keadaan ekonomi negara juga kini berada pada tahap memuaskan apabila pertumbuhan dan simpanan Bank Negara Malaysia meningkat berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Selain itu, kita ambil maklum prestasi ekonomi negara menjurus kepada keadaan memberangsangkan seperti mana kita tahu pencapaian KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) suku kedua mencapai 5.8 peratus, bererti enam bulan ini kita capai pertumbuhan.

“Reserve (simpanan) Bank Negara juga sudah lebih 100 bilion USD. Prospek mengikut penganalisis ekonomi negara kita berada pada landasan lebih tinggi berbanding dahulu,” ujarnya lagi.

Selain itu, Najib juga melahirkan rasa gembira melihat rakyat di negara ini dalam keadaan sejahtera terutama dengan penganjuran Sukan SEA (KL2017) ketika ini.

“Kita akan terus beri keutamaan kepada projek yang ada kaitan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Suasana, mood negara kita nampak ke arah positif dengan terlaksananya Sukan SEA, kita lihat sokongan rakyat boleh dikatakan memuncak di setiap venue dan ahli sukan kita juga bersemangat.

“Malaysia ada peluang baik jadi juara Sukan SEA kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette