Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Pasareka di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 24 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz sekali lagi menyatakan pendiriannya menyokong penuh cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja(RCI) berkenaan peristiwa berdarah di Kampung Memali, Baling, Kedah.

Menurutnya, tindakan yang diambil oleh kerajaan dibawah pimpinan Tun Dr. Mahathir ketika itu tidak bertepatan dengan keadaan serta tindakan penduduk kampung yang tidak mempunyai senjata api.

“Saya menyokong penuh supaya diadakan RCI ini kerana sehingga hari ini ia (Memali) tidak mempunyai kepastian dan sebenarnya ia melibatkan satu peristiwa (berdarah).

“Ketika ia berlaku dahulu, saya juga terasa sebagai orang muda ketika itu, tindakan pihak keselamatan adalah tidak seimbang dengan apa yang berlaku di Memali itu.

“Ia kerana semua mereka terdiri daripada orang kampung yg tiada senjata moden. Mereka bukan merupakan pengganas, jadi sepatutnya tindakan terhadap mereka itu sepatutnya menggunakan pendekatan seperti (meleraikan) demonstrasi,”

Tambah Nazri, perkara yang menjadi faktor kepada insiden berkenaan bukan menjadi perkara utama hari ini sebaliknya tindakan susulan kerajaan ketika itu sehingga meragut 18 nyawa penduduk kampong yang terlibat.

“Yang menjadi sebab perkara lain, yang paling utama tindakan kerajaan tersebut. Mereka bukan pengganas, mereka Cuma orang kampong biasa.

“Kita perlu tahu siapa yang bagi arahan untuk menembak,” katanya ketika ditanya berkenaan kenyataan Tun Mahathir hari ini yang mahu mendedahkan bukti-bukti berkenaan Memali.

Sebelum ini, Tun Mahathir dalam kenyataan di blog miliknya mendedahkan bahawa beliau mempunyai bukti berkenaan isu Memali.-MalaysiaGazette