Home Asnb Agihan pendapatan ASW2020 6 sen seunit

Agihan pendapatan ASW2020 6 sen seunit

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.00 sen seunit bagi Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2017.

Pengagihan pendapatan ini membabitkan pembayaran berjumlah RM1.1 bilion,
yang akan dapat dimanfaatkan oleh lebih 870,000 pemegang unit yang telah
melanggan 18.8 bilion unit ASW 2020.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid
Omar berkata, walaupun pasaran mencabar pada awal tahun kewangan, PNB masih berupaya untuk memberikan pulangan mapan dan berdaya saing kepada pemegang unit tabung ASW 2020.

Untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2017, ASW 2020 dijangka memperoleh jumlah pendapatan kasar sebanyak RM1.38 bilion dengan keuntungan daripada penjualan saham akan menyumbang sebanyak RM718.7 juta atau 52.0 peratus.

Manakala pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM 459.8 juta atau 33.3% kepada jumlah pendapatan kasar tersebut.

Selebihnya RM203.5 juta atau 14.7% diperolehi daripada pelaburan dalam sukuk /deposit tetap Islamik serta pendapatan berfaedah.

Pengiraan pengagihan pendapatan tahunan adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASW 2020.

Pengagihan pendapatan akan dilaksanakan melalui pelaburan semula dalam bentuk unit secara automatik dan akan dikreditkan ke dalam akaun para pemegang unit pada 1 September 2017.

Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASW 2020 menerusi Skim Pelaburan Ahli KWSP, pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP yang berkenaan.

Semua urus niaga bagi tabung ASW 2020 di semua cawangan dan ejen ASNB ditangguhkan mulai 26 Ogos 2017 sehingga 3 September 2017 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan. – MalaysiaGazette