Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta menggunakan pengangkutan awam untuk ke upacara penutup Sukan SEA Ke-29 (KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dalam kenyataan berkata, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang terdekat ialah LRT Bukit Jalil dengan pengguna disaran menggunakan kad Touch ‘n Go untuk pembelian tiket bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan selepas upacara itu tamat.

“Waktu operasi LRT Laluan Sri Petaling di Stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga 2 pagi pada 31 Ogos ini.

MASOC juga berkata hanya penonton yang mempunyai tiket sah, kad jemputan dan pas akreditasi dengan pelekat khas sahaja yang dibenarkan masuk ke stadium.

“Pemegang tiket diingatkan bahawa mereka tidak dibenarkan masuk semula ke dalam stadium sekiranya mereka keluar stadium,” kata MASOC.

Orang ramai yang tidak berkesempatan menyaksikan upacara penutup itu boleh menontonnya secara langsung menerusi YouTube di Kuala Lumpur 2017. – MalaysiaGazette