Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan keutamaan menonton perlawanan bola sepak di stadium perlu diberikan kepada penyokong tanah air.

Dalam catatan terbaharu menerusi portal facebook rasmi Johor Southern Tigers, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor bertitah, penyokong bola sepak adalah nadi yang memberikan semangat kepada pasukan, sama ada kelab atau negara.

“Teringat saya sewaktu perlawanan penting JDT yang berlangsung di Stadium Larkin (Piala Sumbangsih) dan Stadium Shah Alam (Piala FA) suatu ketika dahulu.

“Waktu itu, begitu ramai ahli politik serta pegawai tinggi kerajaan negeri saya yang ingin mengambil kuota tiket sehingga mencecah sehingga dua ribu (2,000) keping.

“Namun saya bertitah kepada Kapten Fahmy, Pegawai Tadbir Askar Timbalan Setia Negeri Johor, bahawa saya tidak bersetuju dan hanya sedikit sahaja diberikan kepada mereka dan selebihnya diberikan kepada para penyokong.

“Penyokong bola sepak adalah nadi yang memberikan semangat kepada pasukan bola sepak sama ada kepada kelab atau pun pasukan Negara. Bola sepak tidak bermakna tanpa penyokong,” titahnya. – MalaysiaGazette