Datuk Seri Mahdzir Khalid

SEREMBAN – Kementerian Pendidikan sedang meneliti bentuk ganjaran yang akan diberikan kepada pelajar dan guru yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), kata Timbalan Menterinya Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata bentuk ganjaran itu akan diumumkan oleh Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid apabila telah diputuskan kelak.

“Kita tunggu pengumuman daripada menteri sendiri,” katanya kepada Bernama selepas majlis sambutan Aidiladha bersama jemaah Masjid Kariah Kampung Dacing dan Masjid Kariah Taman Panchor Jaya di sini hari ini.

Pada 8 Ogos lalu, Mahdzir berkata kementerian itu akan memberikan insentif istimewa kepada atlet pelajar dan guru yang berjaya meraih pingat pada temasya KL20017 yang menyaksikan 134 pelajar dan lima guru terpilih mewakili negara.

Mereka merangkumi 67 orang dari Sekolah Sukan Malaysia, 47 dari sekolah harian, sekolah swasta (16), kolej vokasional (3) dan seorang dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)..