Home Ekonomi TM, IRDA kolaborasi bandar pintar Iskandar

TM, IRDA kolaborasi bandar pintar Iskandar

Bazlan Osman bertukar-tukar dokumen MoU berkenaan dengan Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Eksekutif, IRDA dengan disaksikan oleh Dato’ Seri Najib Razak, dan Datuk Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor.

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA)mengadakan majlis bertukar-tukar dokumen Memorandum Sefahaman bagi pelaksanaan dan penyampaian perkhidmatan pintar di Iskandar Malaysia.

MoU berkenaan menggambarkan usaha kukuh dalam kolaborasi strategik antara TM dan IRDA bagi memastikan penyampaian Perkhidmatan Bandar Pintar Lestari yang efektif.

Seperti yang digariskan di dalam Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia ii (CDPii) 2014-2025, program Bandar Pintar Iskandar Malaysia disasarkan untuk memacu pertumbuhan menerusi ekosistem ekonomi dan teknologi yang lestari ke arah melahirkan masyarakat pintar, terhubung dan bersifat inklusif.

Ini seterusnya akan mempertingkatkan kualiti hidup rakyat, selari dengan aspirasi Iskandar Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan bagi pelaburan, pekerjaan, tempat tinggal dan bersantai.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman berkata, syarikat itu akan memainkan peranan penting dalam mewujudkan ekosistem yang akan menjadikan Iskandar Malaysia model sebuah bandar digital sepenuhnya di Malaysia.

Ia akan menawarkan perkhidmatan telekomunikasi dan perkhidmatan bandar pintar bertaraf dunia ke
kawasan ekonomi di selatan negara ini.

Perjanjian ini akan membolehkan TM melaksanakan perkhidmatan-perkhidmatan pintar yang bersesuaian seperti keselamatan dan sekuriti, mobiliti pintar, perkhidmatan bandar pintar, pengurusan tenaga dan prasarana, serta portal penduduk selari dengan Rangka Tindakan Bandar Pintar Iskandar
Malaysia.

Katanya, pelaburan TM di Iskandar Malaysia termasuklah infrastruktur telekomunikasi fiber optik, pusat data bertaraf dunia dan Pusat Operasi Bersepadu (IOC) bagi penyampaian rumusan perkhidmatan-perkhidmatan pintar.

IOC tersebut, pertama seumpamanya di Malaysia, akan bertindak sebagai pusat kawalan berpusat bagi operasi Internet Segalanya (IoT) perkhidmatan-perkhidmatan bandar pintar.

Ini membolehkan TM menyediakan papan muka pemantauan tunggal untuk menyelaraskan operasi perkhidmatan-perkhidmatan pintar melibatkan peranti dan sensor fizikal, kenderaan, bangunan serta insiden dan peristiwa. – MalaysiaGazette