Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Enam institusi perbankan Islam di negara ini memeterai Perjanjian Usahasama Strategik Dana Wakaf yang merupakan salah satu inisiatif industri perbankan Islam dalam menyediakan pengantara bagi membangunkan ekonomi umat Islam melalui pembangunan tanah wakaf.

Perjanjian tersebut dimeterai oleh Affin Islamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Maybank Islamic Berhad dan RHB Islamic Bank Berhad, semalam.

Dalam kerjasama strategik tersebut, bank-bank Islam dan peserta lain bersetuju bagi membenarkan saluran perbankan mereka digunakan oleh anggota masyarakat untuk menyumbang dana bagi projek-projek tersenarai pilihan mereka.

Pengerusi Persatuan Industri Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid berkata, banyak tanah wakaf yang berpotensi untuk dibangunkan.

“Bank-bank Islam menyedari bahawa wakaf memiliki potensi besar dalam membangunkan ekonomi umat Islam berdasarkan banyak tanah-tanah wakaf yang berpotensi untuk pembangunan dan anggota masyarakat yang dermawan.

“Oleh itu bank-bank Islam berhasrat menyokong usaha Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai pemegang amanah tunggal wakaf dengan bersama mengenalpasti projek yang berimpak tinggi untuk dimajukan dan memaksimumkan penggunaan saluran-saluran perbankan untuk pelanggan-pelanggannya mengambil bahagian dengan menyumbang dana kepada pembangunan projek-projek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Mohd. Redza, projek-projek wakaf yang bakal dibangunkan akan ditumpukan dalam empat sektor iaitu pemerkasaan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pelaburan.

Pada ketika ini lapan MAIN telah menyatakan persetujuan untuk turut serta dalam inisiatif ini dan setiap MAIN dan bank Islam peneraju yang ditentukan akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pengurusan Bersama untuk menyelia projek secara dekat.

“Bagi memastikan tadbir urus yang baik dalam inisiatif ini, AIBIM akan mengeluarkan Kod Tadbir Urus dan Pentadbiran yang mengemukakan prinsip-prinsip pemandu untuk dipatuhi oleh bank-bank peserta yang merangkumi keperluan pendedahan dan pelaporan kepada penyumbang-penyumbang dana sebanding dengan aspek-aspek kawal selia operasi perbankan Islam yang lain.

“Setelah pelancaran rasmi pada suku keempat tahun ini, rakyat Malaysia akan berpeluang menggunakan saluran-saluran perbankan enam buah bank Islam tersebut untuk turut serta membangunkan projek wakaf yang dikenalpasti.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila hubungi AIBIM di 03-20268002/3,” katanya. – MalaysiaGazette