Home Utama Terengganu paling ramai pelajar genius

Terengganu paling ramai pelajar genius

Universiti Kebangsaan Malaysia

KUALA LUMPUR – Terengganu dilapor mempunyai paling ramai pelajar genius.

Rekod kecemerlangan itu adalah konsisten untuk beberapa tahun sejak ujian penentuan indeks genius dilaksanakan.

Perkara itu dijelaskan, Pengarah Pusat PERMATA pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noriah yang memberitahu, pihaknya mengumpul data pelajar berkenaan termasuk struktur demografi dan latar belakang keluarga bagi menjalankan satu kajian khusus.

“Sudah beberapa tahun Terengganu mendominasi statistik pelajar genius paling ramai dan ia konsisten bagi tiga tahun kebelakangan ini termasuk pengambilan pada tahun ini.

“Rata-rata pakar dan pensyarah membuat andaian, amalan pemakanan mereka yang memakan ikan segar dikatakan faktor utama selain daripada genetik dan persekitaran,” katanya yang dipetik dari sebuah laman portal.

Bagaimanapun jelas beliau, buat masa ini tiada lagi kajian yang menyokong pelajar negeri itu genius disebabkan faktor pemakanan iaitu ikan laut yang segar dan mengandungi protein untuk perkembangan otak.

“Namun berdasarkan rekod yang kami terima jelas menunjukkan pelajar Terengganu paling ramai mengambil ujian UKM dan berjaya melepasi setiap peringkat,” katanya.

Menerusi Ujian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1, bagi tahun 2017, seramai 55,035 pelajar menduduki ujian penentu indeks genius peringkat satu.

Daripada jumlah itu seramai 1,128 orang atau 12 peratus pula berjaya ke ujian peringkat kedua yang dikenali sebagai Ujian UKM 2, sekaligus merekodkan pelajar Terengganu yang tertinggi.

Negeri kedua ramai pelajar genius ialah Perak iaitu seramai 47,926 orang berjaya ke Ujian UKM 1 manakala 1,120 orang menduduki Ujian UKM 2.

Tempat ketiga ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan jumlah 30,730 orang pelajar genius. – MalaysiaGazette