PULAU PINANG – Seramai 58 penduduk daripada 15 buah keluarga di Sungai Bakap dan Nibong Tebal di sini masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di Dewan Serbaguna Jawi sejak malam tadi selepas rumah mereka dinaiki air sejak petang semalam.

Kesemua mereka terdiri daripada penduduk Kampung Sungai Baung; Lima; Sethu; Titi Hitam; Pengkalan; Masjid Baru; Permatang Ara; Pulau; Taman Sungai Duri Permai dan Taman Sungai Duri Indah.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang berkata, semua penduduk dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air hampir dua meter ekoran hujan lebat lebih lima jam.

“Mereka mula dipindahkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pulau Pinang menggunakan bot sejak 8 malam tadi hingga 2 pagi ini.

“Sehingga pukul 12 tengah hari tadi juga, sebanyak 21 penduduk yang sebelum ini turut dipindahkan ke pusat tersebut sudah pulang ke rumah masing-masing berikutan keadaan banjir yang semakin surut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi JBPM Pulau Pinang, Ku Mohd Yazid Ku Abdullah berkata, sebanyak tiga buah bot digunakan untuk memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat sebelum dibawa ke pusat pemindahan sementara.

Ujar beliau, beberapa jalan di kawasan terlibat banjir juga tidak boleh dilalui sejak petang semalam dan pihaknya kini sedang membuat pemantauan bagi memastikan tidak ada sebarang kejadian tidak diingin berlaku.- MalaysiaGazette