Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiringi Presiden Superbikers Association Malaysia, Datuk Abdul Halim Sulaiman melancarkan nombor pendaftaran SAM 38 pada Majlis Penutup Merdeka Rides 2017 di Dataran Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 10 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Sebuah gabungan kelab motosikal baharu yang akan dikenali sebagai Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPPM) dilancar oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, penubuhan persatuan itu bertujuan mengumpulkan semua penggemar jentera dua roda tanpa mengira jenis kuasa motosikal untuk duduk dibawah satu naungan.

“Kita mahu semua persatuan permotoran di negara ini bernaung di bawah satu badan kerana tiada beza antara kita sama ada motosikal berkuasa tinggi atau yang lain, kita semua sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Merdeka Rides 2017 di Putrajaya hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Eksekutif Superbikes Association of Malaysia (SAM), berkata akan meminta pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk meluluskan dengan segera penubuhan persatuan tersebut dan menyatakan hasrat untuk melihat satu lagi himpunan besar-besaran melibatkan penggemar motosikal.

“Saya akan minta KDN untuk luluskan dalam tempoh sebulan daripada tarikh permohonan dikemukakan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau juga mengumumkan Datuk Abdul Rauf Yusoh sebagai Presiden sementara persatuan tersebut.

“Selepas 90 hari, saya mahu melihat lebih 60 ribu bikers dalam berkumpul disini,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, permotoran terbukti antara aktiviti dan hobi yang berjaya menyatupadukan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang.

Lebih 600 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai Merdeka Rides 2017 yang bermula sejak 4 September lalu merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan destinasi terakhir di Putrajaya. – MalaysiaGazette