Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abd Rashid Harun bercakap kepada media selepas Perasmian 'INSARAG Asia Pacific Regional Earthquake Exercise' di Hotel Marriot, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 11 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Malaysia komited dalam memantapkan rangkaian pengurusan bencana sesama negara serantau untuk berdepan segala tragedi besar pada masa akan datang.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Malaysia (NADMA), Datuk Abd Rashid Harun berkata, kegagalan menguruskan bencana dalam negara dan negara serantau secara tidak efektif akan membantutkan usaha berkongsi idea dan bantuan bencana alam beskop besar.

“Ini platform terbaik untuk semua pegawai dan kakitangan pasukan yang terlibat misi mencari dan menyelamat dapat berkongsi kepakaran dan idea beserta teknologi yang digunakan.

“Dalam perkara ini keselamatan rakyat semasa bencana sentiasa diutamakan dan ia akan menguji ketangkasan dan kebijaksanaan kita menguruskan sesebuah tragedi itu,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) hari ini.

Seramai 400 peserta mewakili 32 negara Asia Pasifik dan Afrika mengambil bahagian dalam persidangan selama tiga hari bermula hari ini.

“Kita juga akan menguji mekanisme bagi menghadapi bencana besar gempa bumi yang akan dibincangkan dalam persidangan kali ini dan pendekatan baharu yang boleh diakses semua.

“Penyelarasan kepakaran dan kerjasama rantau ini penting untuk Malaysia selaku tuan rumah menerusi NADMA sebagai peneraju pengurusan bencana dalam negara.

“Kita akan mengkaji banyak cara yang boleh membantu menghadapi bencana selain berkongsi kepakaran dan pengalaman serantau serta logistik yang dilaksanakan masing-masing,” katanya.

Ditanya mengenai kesiapsagaan Malaysia, beliau menegaskan Malaysia tidak ketinggalan jaub berbanding negara lain dalam menangani bencana besar termasuk banjir.

“Malaysia mendapat pengiktirafan daripada Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) terhadap persediaan mengendalikan bencana dalam negara.

“Kita juga menjalin akses negara antarabangsa untuk saling membantu dan berhubung dalam mengendalikan sesebauh bencana.

“Kita perkukuhkan rangkaian dengan negara antarabangsa menerusi seminar dan latihan bencana seperti ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette