Home Ekonomi SC umum pelantikan baharu

SC umum pelantikan baharu

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan tiga pelantikan baharu bagi jawatan kanan utama.

Dalam kenyataan di sini, SC berkata, Kamarudin Hashim telah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif kumpulan urusan Pengawasan Pasaran dan Korporat, yang merangkumi jabatan pengawasan institusi, pemantauan korporat, pemantauan pasaran dan analisis risiko.

Kamarudin, yang sebelum ini mengetuai pasukan Pengawasan Pengantara dan Dana, telah bersama SC sejak 1993 dan berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk derivatif, bon, pengurusan dana, pasaran modal Islam dan pengawasan.

Seorang lagi, Salmah Bee Mohd. Mydin yang telah dinaikkan pangkat kepada Pengarah Pengawasan Pengantara dan Dana, bertanggungjawab terhadap pengawasan pengantara pasaran dan pemberian kebenaran dan pelesenan.

Beliau yang mempunyai pengalaman selama lebih 20 tahun dalam industri kewangan dan pasaran modal telah menjalankan pelbagai tugas yang memberi beliau pengetahuan dan pendedahan yang luas dalam hal-hal berkaitan kawal selia termasuk pematuhan, penguatkuasaan, pelesenan dan pengawasan.

Manakala Tengku Zarina Tengku Chik pula menyertai SC sebagai Pengarah Sumber Korporat. Tengku Zarina berpengalaman dalam perbankan global selama lebih 25 tahun dalam bidang kewangan korporat dan antarabangsa.

Sebelum ini, beliau telah diberi tanggungjawab dalam pelaksanaan beberapa inisiatif transformasi strategik, termasuk yang terkini sebagai ketua bagi kecemerlangan operasi dalam perbankan global di Maybank.

Dalam peranan baharu beliau, Tengku Zarina bertanggungjawab terhadap kewangan, pengurusan pengetahuan dan khidmat korporat serta terbabit dalam usaha berterusan SC dalam pembinaan keupayaan dan kecekapan operasi. – MalaysiaGazette