Dzulkifli Ahmad

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin dapat melengkapkan kertas siasatan berhubung isu rasuah dan salah guna kuasa dalam Felda Global Ventures Bhd (FGV) dan pembelian Hotel Felda Investment Corporation (FIC) akhir bulan ini.

Menurut Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, siasatan terhadap FGV hampir selesai dan kertas siasatan lengkap akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan melibatkan FGV dan (hotel) Merdeka Palace tinggal sikit lagi, sudah hampir selesai, ada sikit lagi tindakan perlu buat.

“Bila selesai, SPRM akan membawa kertas siasatan dan cadangan pada Peguam Negara untuk buat keputusan mendakwa,” katanya sidang media sempena Majlis Sambutan Ulangtahun ke-50 SPRM dan Kempen Pencegahan Rasuah di Pengangkutan Awam di ibu negara hari ini.

Hadir sama Presiden Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz.

Ujar Dzulkifli, tugas SPRM hanya menjalankan siasatan mengenai salah guna kuasa badan berkenaan dan segala tugas pendakwaan adalah terletak di tangan pihak pendakwaan untuk dibawa ke mahkamah.

Bagaimanapun SPRM belum memutuskan mana-mana individu yang akan didakwa atas salah guna kuasa termasuklah bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zakaria Arshad.

Pada Jun lalu, SPRM mengambil keterangan bekas Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad dan isteri, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid bagi melengkapkan siasatan kes berhubung dakwaan membabitkan kedua-duanya.

Kemelut FGV mencapai kemuncak apabila bekas pengerusi Tan Sri Isa Samad dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zakaria Arshad, Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim untuk bercuti 6 Jun lepas. -MalaysiaGazette