Home Ekonomi Harga minyak global stabil

Harga minyak global stabil

SINGAPURA – Pasaran minyak stabil pada hari ini, disokong oleh kejatuhan eksport mentah Arab Saudi tetapi diganggu oleh jangkaan kenaikan dalam pengeluaran syal Amerika Syarikat.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) CLc1 berada pada AS$50.00 setong pada 0043 GMT, lebih tinggi 0.2 peratus berbanding harga penutup.

WTI telah berlegar pada sekitar AS$50 setong sejak akhir minggu lalu, dipacu oleh peningkatan permintaan apabila operasi kilang penapis dibuka semula selepas kawasan itu dilanda Taufan Harvey.

Pengeluaran syal Amerika Syarikat dijangka meningkat untuk bulan ke-10 berturut-turut pada bulan Oktober, kata kerajaan negara itu semalam.

Pengeluaran syal dijangka meningkat hampir 79,000 tong sehari kepada 6.1 juta, menurut laporan Agensi Maklumat Tenaga Amerika Syarikat.

Di luar Amerika Syarikat, Brent diniagakan pada AS$55.52, naik AS$0.04.

Para pedagang berkata, harga terus menyokong selepas data eksport minyak mentah Arab Saudi merosot kepada 6.693 juta tong sehari pada bulan Julai daripada 6.889 juta tong sehari pada bulan Jun. – MalaysiaGazette