KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata sebanyak 13,837 idea dan cadangan telah diterima sepanjang kempen sumber khalayak Bajet 2018 yang dijalankan selama 15 hari, bermula 4 hingga 18 Sept lepas.

Perdana menteri berkata penelitian awal mendapati pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, pencukaian, perniagaan dan kewangan serta pengangkutan dan infrastruktur menjadi topik hangat sekali gus menunjukkan keutamaan rakyat hari ini.

“Saya gembira ramai telah mengambil peluang ini untuk berkongsi dengan saya cabaran-cabaran yang dihadapi mereka, selain memberikan cadangan untuk dipertimbangkan dalam pembentukan #Bajet2018,” kata Najib menerusi catatan di laman blog rasmi beliau, hari ini.

Najib berkata semua cadangan yang diterima akan diteliti dan dipertimbangkan dengan serius oleh kerajaan.

“Ini adalah satu langkah yang tepat ke arah mendemokrasikan proses pembentukan bajet negara, satu dokumen yang bakal memberi impak besar kepada hala tuju negara,” katanya.

Menurut Najib, antara yang menarik perhatian beliau ialah cadangan agar Sungai Klang dibersihkan dan dibangunkan untuk menjadi sebuah pengangkutan jalan air utama yang menghubungkan bandar-bandar di sekitarnya yang dikemukakan oleh Mohd Saiful Ridzuan.

“Ramai juga yang telah memuji pelaksanaan MRT dan meminta agar kerajaan membangunkan sistem pengangkutan awam yang efisien di negeri-negeri yang berpopulasi tinggi bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas.

“Saya faham ramai juga yang telah meminta pelepasan cukai bagi membantu menangani kos sara hidup golongan berpendapatan tengah, daripada peningkatan pelepasan cukai untuk aktiviti sukan kepada pelepasan cukai untuk penyelenggaraan kenderaan persendirian,” kata perdana menteri.

Beliau turut gembira membaca cadangan daripada penduduk desa yang mengutarakan hasrat untuk turut terlibat dalam ekonomi digital dan berharap agar peluang untuk mengembangkan perniagaan melalui ekonomi digital tidak terhad kepada penduduk bandar sahaja.

“Oleh itu, saya yakin #Bajet2018 yang bakal dibentangkan akan terus membantu golongan yang memerlukan, dan pada masa yang sama inklusif serta holistik terhadap keperluan semua.

‘Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada semua yang telah terlibat!” kata Najib, yang akan membentangkan Bajet 2018 di Parlimen sebagai Menteri Kewangan.

— BERNAMA