Salah satu perlumbaan Formula One (F1) Petronas Malaysian Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,400 tiket percuma diagihkan Sepang International Circuit (SIC) hari ini kepada golongan belia untuk menyaksikan edisi terakhir perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Malaysia pada 30 September dan 1 Oktober ini.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tiket berkenaan mulai diedarkan pada Rabu kepada pemimpin tempatan di kawasan masing-masing untuk disampaikan kepada  golongan belia yang berminat menyaksikan perlumbaan itu.

Beliau berkata, tiket percuma itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan  oleh SIC agar golongan belia di Malaysia dapat menyaksikan sendiri perlumbaan F1 yang sebelum ini hanya ditonton di kaca televisyen.

“Ini juga memberi peluang kepada anak muda negara melihat sendiri kejayaan negara dan kerajaan dalam mengendali kejohanan antarabangsa yang berprestij ini.

 “F1 Grand Prix Malaysia akan menutup tirainya mulai tahun ini setelah 19 tahun beroperasi dan akan digantikan dengan Motor GP mulai tahun hadapan.

“Semoga edisi baharu ini akan dapat menarik minat lebih ramai golongan muda di negara ini,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Pada April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kontrak penganjuran perlumbaan berprestij itu ditamatkan bermula tahun depan.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira laporan dan pandangan SIC mengenai impak kewangan acara F1 kepada semua pihak berkepentingan. – MalaysiaGazette