Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Kedah, Abdul Razak Muda diiringi guru dan penduduk kampung meninjau keadaan sekolah ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette mengenai banjir di Sekolah Kebangsaan Seri Banai Jitra, Kedah. foto IQBAL BASRI, 25 SEPTEMBER 2017
ALOR SETAR – Jumlah mangsa banjir kilat yang ditempatkan di pusat pemindahan bencana banjir di Kedah menyusut dengan drastik hari ini.
Menjelang esok, operasi bencana negeri itu dijangka ditutup sepenuhnya.
Menurut Pengarah APM Negeri Kedah, Lt. Kolonel (PA) Mohd. Zul Khairi Shamsuddin, setakat pukul 2 petang tadi, hanya tujuh  buah keluarga dengan 40 mangsa sahaja lagi masih belum kembali ke kediaman mereka dan ditempatkan di pusat pemindahan mangsa banjir.
“Sejak hari kejadian pada Khamis lalu, kita telah membuka sebanyak 34 pusat pemindahan mangsa banjir di daerah seluruh negeri yang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat tanpa henti.
“Setakat pagi tadi dua pusat sahaja yang beroperasi iaitu Dewan Rakan Sukan di Tanah Merah, daerah Pendang dengan 10 keluarga meliputi 33 mangsa manakala 9 keluar dan 48 mangsa di SK Kodiang Lama, Kubang Pasu.
“Namun pada 12 tengah hari Dewan Rakan Sukan Tanah Merah ditutup secara rasmi dan kesemua 10 keluarga dan mangsa telah pulang ke kediaman masing-masing kerana air sudah surut dan rumah mereka sudah dibersihkan dengan kerjasama anggota APM kami.
“Namun, setakat 2 petang kini tinggal SK Kodiang Lama dengan 7 keluarga dan 40 mangsa sahaja yang masih belum pulang,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi di sini.
Mohd. Zul Khairi berkata, tujuh keluarga itu dijangka pulang esok setelah air surut dan kering sepenuhnya.
Sepanjang bencana banjir itu, katanya, seramai 400 anggota APM termasuk 30 pegawai telah dikera dengan kekuatan aset iaitu 6 lori dan 10 buat bot memindahkan mangsa banjir.
Ujarya lagi, pusat pemindahan mangsa banjir SK Kodiang Lama akan ditutup menjelang petang Jumaat ini jika cuaca panas dan cerah tanpa hujan berterusan.
“Kita juga tidak tutup sepenuhnya pusat-pusat pemindahan ini kerana sekiranya berlaku sebarang kemungkinan atau banjir berulang ia akan dibuka semula,” katanya.- MalaysiaGazette