Home Dunia Serangan misteri: Rakyat AS dilarang ke Cuba

Serangan misteri: Rakyat AS dilarang ke Cuba

Kedutaan Amerika Syarikat di Havana, Cuba. foto Agensi

HAVANA – Amerika Syarikat membawa keluar lebih daripada separuh kakitangannya dari Kedutaan Cuba berikutan serangan misteri yang menyebabkan para diplomatnya tidak sihat.

Washington juga memberi amaran kepada rakyat Amerika Syarikat supaya tidak datang ke Cuba kerana serangan sama berlaku di hotel-hotel.

Sekurang-kurangnya 21 orang kakitangan kedutaan itu mengalami masalah kesihatan termasuk trauma otak ringan dan pekak, selain loya dan pening.

Menyifatkan keputusan Amerika Syarikat itu sebagai “terburu-buru”, Cuba berkata, tindakan itu akan menjejaskan hubungan dua hala tetapi kerjasama akan diteruskan.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson berkata, kedua-dua negara akan terus bekerjasama dalam menyiasat serangan itu dan memberitahu hubungan diplomatik akan dikekalkan.

Laporan terdahulu mencadangkan serangan sonik menyebabkan serangan penyakit misteri itu berlaku.

Cuba pula menegaskan ia tidak terlibat dalam kejadian tersebut.

Serangan itu turut membabitkan dua warga Kanada. – MalaysiaGazette