Datuk Roslee Chik

KEPALA BATAS – Polis Pulau Pinang yakin berjaya menyelesaikan kes rompakan emas seberat 11 kilogram (kg) di Jalan Siram, Butterworth minggu lalu menerusi penahanan lapan suspek minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, kesemua mereka termasuk tiga wanita ditahan di beberapa lokasi di Cheras, Kuala Lumpur; Selangor dan Johor.

Menurut beliau, penahanan suspek berusia antara 30-an hingga 40-an itu rentetan siasatan lanjut pihaknya ke atas kereta yang ditinggalkan penjenayah selepas melakukan rompakan emas membabitkan nilai kira-kira RM2 juta pada hari sama.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, polis turut berjaya menemui semula dua jongkong emas seberat kira-kira tiga kg bernilai RM180,000 daripada salah seorang suspek.

“Suspek sama turut mengaku sudah menjual satu lagi jongkong emas kepada pasaran gelap dan kita kini sedang mengesan empat lagi jongkong emas serta barang kemas hasil rompakan yang dipercayai sudah dijual

“Kita juga sudah mengenal pasti pembeli barangan kemas dan emas ini dan meminta mereka menyerah diri kepada pihak polis sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pemusnahan barangan kes narkotik di Stor Berpusat Kontinjen Seberang Perai Utara, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi 25 Septmber lalu, empat lelaki bersenjatakan tukul dan kapak merompak dua pekerja kilang emas berkenaan ketika sedang memindahkan jongkong emas dan barang kemas dari kilang terbabit ke dalam sebuah van.

Suspek kemudiannya melarikan diri menaiki sebuah kereta Perodua Bezza yang kemudiannya ditemui ditinggalkan dalam keadaan remuk dipercayai terlanggar lori kira-kira lima kilometer dari kilang emas berkenaan.

Dalam pada itu, Roslee tidak menolak kejadian rompakan emas terbabit turut didalangi orang dalam kerana modus operandinya yang teliti.

Ujar beliau, pihaknya kini juga menyiasat sama ada suspek yang ditahan turut terlibat dengan kes samun kedai emas di Taman Chai Leng dekat Perai dua tahun berturut-turut yang menggunakan modus operandi sama.

Ujar beliau, kesemua suspek kini direman selama seminggu sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette