Iklan penganjuran `Better Beer Festival 2017'

KUALA LUMPUR – Selepas mendapat kecaman daripada banyak pihak akhirnya penganjur pesta arak Oktoberfest menukar nama penganjuran pesta itu kepada Bavarian Festival.

Demikian dinyatakan penganjurnya ketika mengemukakan permohonan rayuan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang sebelum ini enggan memberi kebenaran.

Ahli Majlis MBPJ, Sean Oon Chong Ling mengesahkan penganjurnya mengemukakan surat permohonan kira-kira jam 5 petang semalam dan mengubah nama kepada Bavarian Festival

“Setakat yang saya tahu, penganjur telah menghantar surat kepada MBPJ untuk meminta pertimbangan semula,” katanya kepada pemberita hari ini.

Chong Ling berkata, MBPJ menerima permohonan daripada penganjur bagi mengadakan pesta itu pada 28 September lalu, tetapi ditolak kerana enam dokumennya tidak lengkap.

“Penolakan permohonan itu disebabkan dokumen yang dikemukakan tidak lengkap,” ujarnya.

Katanya, enam dokumen itu memerlukan maklumat lengkap termasuk, salinan pendaftaran syarikat, komen polis dan kelulusan pemilik tempat untuk diadakan pesta itu.

Festival Bavarian dijadualkan diadakan bermula petang ini hingga Ahad di tempat letak kereta di pusat beli-belah 1Utama di sini. – MalaysiaGazette