Pengarah Jabatan KDNKA Bukit Aman, Komisoner Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Baru sahaja habis mencekup suspek-suspek penipuan skim pelaburan bernilai RM6.8 juta perumahan, polis berjaya ‘menjinakkan’ satu lagi skim kosmetik pula  di ibu negara.

Hasil maklumat risikan pasukan polis di Pulau Pinang, Polis Bukit Aman telah menyerbu dan menangkap tiga suspek di dua lokasi berasingan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita.

Kedua-dua lelaki, Mohammad Fikri Ahmad, 34, dan Zairul Zainal Abidin, 36, manakala wanita itu pula ialah Ku Nor Amira Dayana Ku Mat Sharif, 30.

“Kami telah menerima sebanyak 105 laporan polis berhubung kes penipuan skim pelaburan yang dinamakan Krubal Resources Sdn. Bhd. dan dianggarkan antara 1,500 hingga 2,000 pelabur telah menjadi mangsa dalam skim tersebut dengan anggaran jumlah kerugian sebanyak RM800,000.

“Hasil serbuan kita merampas barang iaitu empat buah kereta mewah sebuah tab komputer dan tiga biji komputer riba dan pelbagai dokumen syarikat termasuk buku cek Krubal Resources Sdn. Bhd.,” katanya kepada pemberita di ibu negara hari ini.

Tambah Acryl Sani, sindiket itu menerusi modus operandi menawarkan pelaburan barangan kosmetik melalui grup WhatsApp dan Facebook dan mengambil deposit dari mangsa-mangsa untuk dilaburkan dalam syarikat Exorbitance Influence Sdn. Bhd.

Jelas beliau, mangsa ditawarkan lima jenis pakej pelaburan bernilai antara RM350 hingga maksimum RM55,000.

“Pakej pertama iaitu asas 1,2 dan 3 adalah melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM350 hingga 2350, pakej Deluxe (RM5,350), pakej VIP bernilai RM10,350, pakej VVIP bernilai RM25,350 dan akhirnya pakej Presiden sebanyak RM55,350.

“Pelabur telah dijanjikan dengan pulangan yang tinggi iaitu melebihi 100 peratus selepas tiga bulan dan juga hadiah emas dengan berat tertentu mengikut pakej yang ditawarkan.

“Semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut polis,” tegasnya lagi.

Dalam satu lagi perkembangan lain, polis juga berjaya menumpaskan sindiket penipuan Afrika dan melibatkan nilai kerugian berjumlah RM66 juta melibatkan 1,719 laporan polis yang diterima.

Acryl Sani berkata, polis menahan seramai 13 orang suspek yang terdiri daripada 11 lelaki dan dua wanita warga Nigeria berusia antara 25 hingga 35 tahun.

Tangkapan menerusi operasi di empat lokasi di negara ini antara 27 September hingga 5 Oktober lepas itu telah menyelesaikan sebanyak 35 laporan polis yang dibuat mangsa yang mengalami kerugian hampir RM1 juta.

“Hasil siasatan suspek sindiket yang mendakwa mereka sebagai pelajar swasta di Malaysia, bergiat melakukan penipuan bukan sahaja kepada mangsa-mangsa tempatan malah mangsa-mangsa dari Singapura, Australia dan Amerika Syarikat dengan menjadikan negara ini pusat mereka,” katanya lagi.

Menurutnya, polis Bukit Aman berjaya menghidu pergerakan mereka dengan maklumat risikan kerjasama dari Singapura.

Katanya, mangsa berkenalan dengan ahli sindiket melalui laman sosial Facebook dan suspek akan menghubungi mangsa menerusi telefon dan e mel.

“Setelah berkenalan dan sebagai tanda perasaan persahabatan dan kasih sayang, suspek menghantar bungkusan hadiah kepada mangsa dan mangsa terperangkap apabila menerima panggilan kastam, imigresen dan khidmat kurier yang mana mangsa dikehendaki membayar jumlah tertentu bagi menyelesaikan masalah itu.

“Setelah mangsa membuat pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek, ‘bungkusan’ yang dijanjikan tidak diperoleh dan suspek gagal dihubungi,” tegasnya.

Menurut beliau, polis juga turut merampas sebanyak 21 buah telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh komputer riba, sebanyak 19 keping kad mesin pengeluaran wang automatik, enam buku pasport, sebuah kereta Myvi, seutas jam tangan, enam keping kad akses, tiga rangkai anak kunci dan satu pendrive dan pelbagai dokumen.

Ujarnya, kesemua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda serta Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan 1963 dan Akta Passport 1966 (Akta 150).

“Orang ramai di luar sana kami menyeru supaya dengar nasihat dan berhati-hati semaa mengenai individu dalam internet seperti Facebook, Twitter, Skype, WhatsApp dan banyak lagi medium perhubungan masa kini.

“Tiada jalan mudah memiliki kekayaan terutama dalam pemberian hadiah berupa wang ringgit dan harta daripada orang yang kita kenali menerusi laman sosial,” ujarnya. – MalaysiaGazette