Sirajuddin Salleh menyatakan sokongan ADT Perkasa kepada Ibrahim bertanding PRU14
Sirajuddin Salleh menyatakan sokongan ADT Perkasa kepada Ibrahim bertanding PRU14

KUALA LUMPUR – Pengharaman empat universiti tempatan oleh kerajaan Oman memburukkan lagi reputasi Malaysia di luar negara, kata Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Sirajuddin Salleh.

Sirajuddin yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Perkasa berkata, berita pengharaman itu amat mengejutkan seluruh rakyat negara ini.

“Kita memandang berat atas keputusn kerajaan Oman. Pengharaman ini juga membantutkan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi di rantau ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Oman minggu lalu mengumumkan, kerajaannya akan menyekat sebarang kemasukan pelajar mereka ke empat institut pengajian tinggi (IPT)  di negara ini.

Menurut Pegawai Kerajaan Oman di Malaysia, Yahya Salam Al Mundhari, empat IPT itu dikatakan kerap menyalahguna serta menidakkan hak pelajar Oman ketika belajar di Malaysia.

Empat IPT yang diharamkan itu ialah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti SEGI, Universiti Binary dan Universiti LimKokWing (LUCT).

Menurut Sirajuddin, asas keputusan kerajaan Oman dalam pengharaman itu, iaitu penipuan akademik dan pengurusan adalah amat serius.

“Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi hendaklah memantau IPT yang banyak seperti cendawan tumbuh selepas hujan ini dengan lebih ketat dan rapi,” katanya.

Beliau menuntut kerajaan mengadakan audit dan naziran secara mengejut ke atas IPT di seluruh negara dan tindakan serta hukuman berat diambil ke atas universiti yang didapati bersalah.

Sirajuddin turut menggesa kerajaan dan kementerian memeriksa serta merta ke atas empat IPT yang diharamkan oleh kerajaan Oman itu.

“Pemeriksaan ini perlu melibatkan polis dan Imigresen kerana khabar berhubung penyalahgunaan visa dan pas pelajar untuk aktiviti menyalahi undang-undang dikatakan berleluasa dan perlu disiasat serta diambil tindakan,” tegasnya. – MalaysiaGazette