Gunung Shinmoedake

TOKYO – Gunung Shinmoedake di selatan Jepun meletus buat kali pertama dalam tempoh enam tahun hari ini, mengeluarkan kepulan debu beberapa ratus meter ke udara dan mencetuskan amaran kepada penduduk tempatan, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Penduduk diarah menjauhi kawasan gunung berapi itu selepas ia mula bergelodak jam 5.34 pagi.

Agensi Meteorologi Jepun berkata, letupan udara disebabkan letusan gunung berapi itu boleh memecahkan tingkap.

“Kepulan debu mencecah ketinggian 300 meter apabila gunung berapi terbabit meletus,” kata seorang pegawai agensi menambah, letusan akan berterusan dan menjadi semakin aktif.

Agensi itu memberi amaran, mendakan debu mungkin tersebar sejauh dua kilometer dari kawah gunung.

Pihak berkuasa menaikkan amaran ke paras tiga, bermaksud penduduk tempatan perlu menjauhi gunung berapi terbabit.

Mereka mengesan 90 gegaran kecil 5 Oktober lalu berhampiran pergunungan itu, dipaparkan dalam filem James Bond 1967, `You Only Live Twice’.

Pada 27 September 2014, Jepun mengalami letusan terburuk dalam 90 tahun apabila Gunung Ontake di tengah wilayah Nagano meletus secara tiba-tiba.

Dianggarkan 63 orang terbunuh dalam gegaran kejutan di puncak yang dipenuhi pendaki pada masa itu. – MalaysiaGazette