Foto Instagram Datuk Seri Vida.

KUALA LUMPUR – Belum pun Gegar Vaganza musim keempat (GV4) membuka tirai tetapi penaja utamanya sudah mula berkecil hati.

Datuk Seri Hasmiza Othman meluahkan rasa kecewa apabila dirinya tidak dipanggil ke atas pentas memberi ucapan selaku penaja utama program berkenaan.

“Saya sakit hati. Saya gigih berpakaian cantik. Kenapa saya tidak dipanggil? Tidak boleh ke saya naik atas pentas untuk memperkenalkan diri?

“Mahu saya rebut mikrofon lagi ke untuk perkenalkan saya ini penaja? Saya ingat saya sudah jadi artis, tidak perlulah begitu,” kata jutawan kosmetik itu menerusi video di laman sosial Instagram miliknya.

Semalam, Hasmiza yang mesra disapa Vida semalam dijemput naik ke atas pentas untuk sesi bergambar tetapi bukan untuk sesi sidang media.

Hasmiza berkata, penampilannya semalam tidak berbaloi apabila tidak diundang untuk memperkenalkan diri selaku penaja utama.

“Saya belanja punyalah banyak. Saya memang tak tahan. Saya tidak makan dengan mereka [selepas majlis]. Saya ‘lari’.

“Saya tertanya-tanya kenapa mereka buat saya begini? Saya pun ada hati dan perasaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette