Gambar hiasan

PULAU PINANG – Seramai 31 kanak-kanak dilaporkan mati lemas di kolam renang hotel dan taman tema air dari Januari hingga September tahun ini.

Menurut Pakar Kanak-Kanak, Datuk Dr Amar Singh, statistik itu adalah sangat membimbangkan mengambil kira aspek keselamatan yang tinggi di kedua-dua lokasi berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun menambah, jumlah itu juga merupakan sebahagian daripada 500 kes kematian akibat lemas yang dicatatkan setiap tahun membabitkan kanak-kanak berusia sehingga 18 tahun.

“Jumlah kematian yang tinggi itu juga disebabkan terdapat mangsa yang cuba menyelamatkan rakan mereka yang lemas sekali gus menyebabkan risiko kematian menjadi dua kali ganda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Seminar Pencegahan Lemas yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye di sini hari ini.

Dalam pada itu, Lam Thye menggesa satu pangkalan data yang mengandungi statistik kes lemas serta maklumat berkaitan dibina pihak berwajib dalam menangani insiden lemas secara berkesan.

Menurut beliau, pangkalan data itu membolehkan kajian dilakukan secara terperinci berhubung punca kejadian lemas khususnya dalam kalangan kanak-kanak serta mencari jalan penyelesaian.

Ujarnya, data dan laporan mengenai kejadian lemas itu boleh dikumpul daripada agensi-agensi terlibat termasuk seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Jabatan Perangkaan dan Kementerian Kesihatan. – MalaysiaGazette