Antara ketulan ganja yang dirampas dalam sebuah kenderaan di Kuala Kedah pagi tadi.

ALOR SETAR – Polis Kedah merampas ketulan ganja seberat 527.9 kilogram dalam sebuah kenderaan di lampu isyarat dekat Taman Pelangi, Jalan Kuala Kedah awal pagi ini.

Seorang lelaki yang menjadi pemandu kereta itu turut ditahan.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh sepasukan polis menemui 13 guni yang mengandungi ketulan dadah di bahagian belakang penumpang bekalang.

Setiap guni itu berisi 41 ketulan ganja menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 533 ketulan.

Siasatan awal mendapati lelaki yang berusia 26 tahun itu merupakan pembantu kedai runcit.

Suspek dikatakan telah datang ke Kuala Kedah seorang diri untuk mengambil ganja dari seorang lelaki tempatan untuk dibawa ke Sungai Buloh.

Lelaki itu mendakwa n mendapat upah sebanyak RM3,000 dari seorang lelaki lain.

Suspek telah terlibat dalam aktiviti pengedaran ganja selama setahun dan dia juga didapati positif dadah.

Lelaki berkenaan akan ditahan reman untuk disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.