Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Mahkamah Majistret membebaskan ahli perniagaan, Hamid Apdal, 52, yang ditahan berhubung siasatan kes penyelewengan dana awam di Sabah hari ini.

Beliau dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas Majistret Stephanie Sherron Abbie mengeluarkan perintah di Hospital Pakar Damai, di sini, pada jam 10 pagi.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan deposit RM25,000.

Stephanie tiba pada jam 9.50 pagi sebelum dilihat keluar 10 minit kemudian.

Menurut laporan BH Online, SPRM diwakili Pegawai Pendakwaan SPRM, Mohd Faliq Basiruddin, manakala Hamid diwakili barisan peguam Martin Tommy dan Hamid Ismail.

Hamid yang juga adik Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) disambung reman lima hari pada Ahad lalu, selepas tempoh tahanan reman lima hari yang dikeluarkan mahkamah sama pada Rabu minggu lalu berakhir.

Tempoh reman Hamid yang sepatutnya berakhir esok bagaimanapun disingkatkan hari ini.

Hamid ditahan pada 10 Oktober lalu bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam projek pembangunan luar bandar bernilai RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Sabah antara 2009 hingga 2015. – MalaysiaGazette