Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung salah guna dana persekutuan berjumlah RM1.5 bilion yang sepatutnya digunakan untuk tujuan pembangunan di Sabah.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu dijangka hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu pada tengahari ini.

Sumber rapat yang juga pegawai Shafie mengesahkan SPRM sudah memberikan notis untuk mengambil keterangan dan memberitahu ketika ini sedang dalam perjalanan ke Kota Kinabalu.

Terdahulu, dua adik beliau, Hamid Apdal dan Yusof Apdal juga ditahan berhubung siasatan kes penyelewengan dana sama.

Sebelum ini, SPRM juga sudah menahan tiga individu, termasuk pemimpin kanan Parti Warisan dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Sabah berhubung skandal sama.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, dianggarkan RM1.5 bilion diselewengkan daripada RM7.5 bilion dana awam untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah dari tahun 2010 hingga 2016.

Azam dilaporkan berkata, lebih 60 syarikat dikenal pasti terbabit melaksanakan projek berkenaan dan usaha mencari semua mereka yang terbabit kini giat dijalankan. – MalaysiaGazette