Kapten Izham Ismail

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Bhd.(MAB) melantik Kapten Izham Ismail sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) syarikat tersebut berkuatkuasa serta-merta.

Dalam kenyataannya, MAB berkata, pelantikan Kapten Izham yang merupakan Ketua Pegawai Operasi syarikat ketika ini adalah sejajar dengan pelan penggantian yang merupakan sebahagian daripada 12 perkara Pelan Pemulihan MAS (MRP).

Bagi memastikan proses peralihan yang lancar, Jawatankuasa Lembaga Eksekutif yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Md Nor Yusof bersama ahli-ahli lembaga pengarah yang lain seperti Tan Sri Krishnan, Tan Boon Seng, Tan Sri Zamzamzairani dan Sheranjiv Sammanthan akan berada di dalam jawatankuasa tersebut selama enam bulan.

Kapten Izham akan mengambil alih peranan yang ditinggalkan Peter Bellew bermula 1 Disember ini.

Bellew ketika ini sedang bercuti.

Beliau yang memiliki 38 tahun pengalaman dalam industri penerbangan memulakan kariernya sebagai juruterbang MAS pada 1979. Beliau pernah memecahkan rekod penerbangan dunia apabila menerbangkan pesawat pertama B777-200 MAS dari Seattle ke Kuala Lumpur dan kembali ke Seattle.

Penerbangan tersebut mencatatkan sejarah dunia sebagai penerbangan paling panjang dan pantas dilakukan oleh sebuah syarikat penerbangan komersial dengan jumlah keseluruhan waktu penerbangan adalah 41 jam 59 minit dengan jarak sejauh 23,310 batu.

Kapten Izham merupakan sebahagian daripada pasukan yang menjalankan pemulihan MAS dan sebagai COO, beliau bertanggung jawab terhadap bahagian operasi termasuk operasi penerbangan, lapangan terbang dan kejuruteraan.

Beliau mengepalai penstrukturan semula bahagian kejuruteraan supaya menjadi lebih berkesan dan kukuh selain bertaggung jawab melaksanakan inisiatif penjimatan bahan api syarikat.

Pengerusi MAB, Tan Sri Md Nor Yusog berkata, Kapten Izham mempunyai kefahaman mendalam terhadap operasi dan pengurusan perniagaan syarikat berikutan pengalaman selama 38 tahun yang dimiliki beliau.

“Saya bangga apabila bakat yang dipupuk sejak lama oleh syarikat ini dilantik untuk menerajui MAS.

“Beliau mempunyai pengalaman yang sangat luas dan saya percaya beliau mampu membawa syarikat ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan dan memastikan pelan pemulihan berjaya dicapai.

“Pelan MRP yang dilancarkan pada 19 Ogos 2014 memang menyediakan perancangan untuk melantik peneraju tempatan dan kini pelan tersebut dipercepatkan.

“Kita sekarang berada di tahun ketiga daripada pelan lima tahun dan sudah tiba masanya MAB melantik rakyat Malaysia untuk membawa syarikat menuju garisan penamat,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Kapten Izham, beliau merasa terharu diberi penghormatan menerajui MAB.

“Sepanjang karier saya dihabiskan dengan Malaysia Airlines dan mereka adalah keluarga.

“Menerajui syarikat penerbangan kebangsaan adalah satu tanggung jawab besar dan dengan rendah diri, sayatelah bersedia untuk menghadapi cabaran ini.

“Kita sedang berada di landasan untuk menghabiskan dan menyempurnakan pelan transformasi yang telah disediakan dan saya tidak sabar untuk bekerja dengan rakan-rakan MH bagi menjadikan syarikat ini kebanggaan negara semula,” katanya.

Kapten Izham akan disokong oleh pasukan pengurusan kanan MAB terdiri daripada Ketua Pegawai Kewangan, Omar Siddiq, Ketua Pegawai Komersial Arved von zur Muehlen, Ketua Pegawai Maklumat, Tan Kok Meng dan Kounsel Eksekutif, Nik Azli Abu Zahar.

Manakala Ketua Pegawai Sumber Manusia Telekom Malaysia Bhd., Datuk Khalis Abdul Rahim akan menyertai MAB sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia tidak lama lagi.

Beliau memiliki 25 tahun pengalaman dalam bidang tersebut.-MalaysiaGazette