Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim bersama Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad (kiri) bercakap pada sidang media berhubung pelaburan Felda di Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 22 OKTOBER 2017

PUTRAJAYA – Dakwaan pembangkang mengenai Hotel Grand Plaza Kensington di London bukan lagi dimiliki anak syarikat Felda Investment Corporation (FIC) adalah tidak berasas.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim menegaskan, syarikat FIC Hotel London (Pivate) Limited adalah pemilik hotel tersebut dan masih bertanggungjawab sepenuhnya mengendalikan operasi.

Menurutnya, dakwaan terbaharu Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bertujuan mengelirukan rakyat khususnya kepada para peneroka supaya membenci FELDA.

Dalam masa sama, beliau juga mempersoalkan tindakan Naib Presiden PKR itu yang tidak mendedahkan perkara sebenar mengenai hotel tersebut.

“Kenapa Rafizi tidak bercakap perkara yang betul atau memang dia sengaja berbuat begitu kerana hendak mengelirukan rakyat dan memburukkan FIC.

“Ini semua adalah sifat pembangkang kononnya Felda ini sangat teruk, apatah lagi ketika PRU-14 semakin hampir ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sidang media khas itu diadakan untuk memperkenalkan Pengerusi FIC, Datuk Syed Mohamed Syed Hashim yang baharu dilantik pada 20 Julai lalu.

Pada sidang media itu juga, Razali turut menunjukkan sijil pendaftaran syarikat tersebut sebagai bukti tuduhan Rafizi itu tidak berasas.

“Syarikat yang didakwa Rafizi iaitu FIC London Hotel Pte Limited telah domain apabila FIC form satu syarikat baru atas faktor sebagai strategi perniagaan dari segi mendapatkan keuntungan cukai di sana.

“Ia memang telah lama dibiarkan domain dan akhirnya terus ditutup. Jadi, saya mengesahkan hotel Grand Plaza Kensiston masih dimiliki oleh anak syarikat FIC,” katanya.

Jumaat lalu, Rafizi menerusi kenyataannya mendakwa pelaburan FIC terhadap Hotel Grand Plaza Kensiston adalah satu pembaziran dan kegagalan.

Beliau mendakwa hotel tesebut bukan lagi menjadi milik anak syarikat FIC- MalaysiaGazette