Abdul Yazid Othman

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) memuji kejayaan membasmi kemiskinan oleh Kerajaan Persekutuan kata Ketua Pegawai Ekselutif MTEM, Ahmad Yazid Othman.

Menurutnya, melalui dapatan Laporan Penyiasatan Isi Rumah yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik minggu lalu menyatakan bahawa kemiskinan kini telah turun kepada 0.4 peratus tahun 2016 berbanding 0.6 peratus pada tahun 2014.

“Sesungguhnya ini adalah satu kejayaan yang besar berbanding seawal pelaksanaan Dasar DEB pada tahun 1970 dengan kemiskinan ketika itu berada pada tahap 49.3 peratus,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad Yazid juga tidak menafikan kerajaan persekutuan telah konsisten melaksanakan pelbagai langkah dalam usaha untuk terus membasmi kemiskinan selaras dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru.

Namun, MTEM selaku badan NGO ekonomi melihat pihak kerajaan perlu meneliti dan mempertimbangkan kemiskinan relatif sebagai alat pengukur dasar yang perlu diberi perhatian sebagaimana yang telah diamalkan oleh negara OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development) untuk menilai tahap kemampuan hidup rakyatnya.

Walaupun kemiskinan mutlak telah menurun kepada 0.4 peratus tetapi kemiskinan relatif telah muncul sebagai satu kebimbangan yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, katanya.

Berdasarkan penemuan MTEM, (menggunakan median pendapatan 50%) kemiskinan relatif kini bagi Malaysia meningkat daripada 15% (2014) kepada 16%(2016). Dengan negeri utama yang mencatatkan jurang kenaikan kemiskinan relatif iaitu Johor (8% (2014) – 12% (2016)), diikuti Kedah (24% (2014) – 29% (2016) dan Sabah (24% (2014) – 27% (2016)).

Secara jelasnya, sebanyak 16 peratus penduduk daripada jumlah penduduk keseluruhan 6,947,700 berada dibawah kemiskinan relatif dengan bumiputera merupakan kaum majoriti penduduk di Malaysia iaitu sebanyak 64.5 peratus, katanya.

“Oleh itu, perhatian khusus diperlukan dalam merapatkan jurang kemiskinan relatif secara lebih efektif khususnya kaum Bumiputera yang merupakan kaum majoriti.

“Pendekatan kemiskinan relatif perlu menjadi fokus utama untuk digunapakai mengikut benchmark / penanda aras diluar negara dalam usaha Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi dan sasaran Transformasi Nasional 50 (TN50),” ujarnya lagi.

Umumnya, punca utama pendapatan penduduk bagi semua kaum melebihi 60 peratus (65.1%) adalah daripada sumber pendapatan bergaji.

Perkara itu turut membimbangkan terutamanya daripada isi rumah M40 yang boleh jatuh kepada vulnerable group (kumpulan mudah terjejas) sekiranya kehilangan punca pendapatan utama.

“Oleh itu, jaringan keselamatan sosial kerajaan perlu dimantapkan dalam usaha mengatasi isu kos sara hidup yang semakin menekan pada masa kini.

“Daripada segi pendapatan penengah mengikut kumpulan etnik, Bumiputera masih menunjukkan antara kaum yang masih ketinggalan dan termiskin dan mempunyai pertumbuhan yang sangat buruk dengan data menunjukkan bumiputera hanya meningkat sebanyak RM632 (2016) berbanding 2014 namun Cina dan India meningkat sebanyak masing masing RM874 dan RM801.

“Walaupun bumiputera merangkumi jumlah majoriti, namun agihan pendapatan bumiputera hanya 58.1 peratus adalah lebih rendah berbanding peratusan isi rumah bumiputera iaitu 64.5 peratus. Bandar dan luar bandar menunjukkan trend yang sama.

“Manakala secara keseluruhannya Cina dan India menunjukkan agihan pendapatan yang melebihi daripada peratusan isi rumah,” katanya.

Sehubugnan itu, MTEM menyarankan bahawa keperluan pelaksanaan tindakan afirmatif perlu diteruskan oleh Kerajaan memandangkan sehingga kini Bumiputera terutamanya masih tidak mencapai ratio pengagihan mengikut populasi.

MTEM turut merasakan bahawa pendekatan kerajaan secara keseluruhannya perlu dibaiki atau ditambah nilai kerana berlakunya ketidakseimbangan.

Data menunjukkan bahawa agihan pendapatan/ pegangan bagi B40 semakin menurun dan agihan pendapatan/ pegangan T20 pula yang semakin meningkat.

MTEM menyarankan supaya kerajaan mengukuhkan dasar pro-miskin berdasarkan kemiskinan relatif dan memperkenalkan dasar-dasar pengagihan semula aktif akan memberi kesan positif pengagihan pendapatan untuk memberi faedah kepada semua anggota masyarakat.

MTEM turut mengesyorkan kerajaan supaya merangka satu “jaringan keselamatan sosial” yang komprehensif seperti akses kepada sekuriti pendapatan, perkhidmatan asas dan peluang membantu melindungi golongan yang mudah terjejas (vulnerable group) dengan aset dan keupayaan yang terhad dan menghalang mereka daripada jatuh ke dalam kumpulan 40 peratus.

Secara khususnya Malaysia memerlukan dasar generasi kedua yang mengutamakan pertumbuhan inklusif dan perpaduan sosial selaras dengan saranan untuk mencapai TN50.

Tindakan afirmatif masih perlu diteruskan untuk memastikan keseimbangan di antara kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Namun ia perlu ditambah nilai dan diselia supaya lebih berkesan dan mampan, katanya.- MalaysiaGazette