Reaksi ceria Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sambil membawa beg yang berisi buku teks ucapan Bajet 2018 untuk dibentangkan di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 27 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Masyarakat India bakal menerima 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) sempena Bajet 2018.

Inisiatif baharu itu terhad kepada 30,000 unit bagi setiap pelabur akan diagihkan menerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB).

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi menyokong insiatif tersebut, kerajaan turut menyediakan satu skim pinjaman pelaburan khas dengan dana sebanyak RM500 juta bagi tempoh lima tahun.

Skim ini akan ditawarkan kepada 100,000 isi rumah terdiri daripada golongan B40 masyarakat India dan ia terhad kepada 5,000 unit bagi setiap peserta.

Dalam pada itu, kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk pinjaman PKS melalui Koperasi Jayadiri Malaysia Bhd. (KOJADI) selain tambahan RM30 juta yang disalurkan kepada Yayasan Peniaga dan Penjaja Kecil 1Malaysia.

Kerajaan turut memperuntukkan RM65 juta untuk pembangunan kampung-kampung baru Cina dan RM10 juta untuk program membaik pulih rumah. – MalaysiaGazette