Tan Sri Noor Rashid Ibrahim. foto HAZROL ZAINAL, 13 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Polis telah mengenalpasti sebilangan besar dalang-dalang dalam aktiviti perjudian haram atas talian di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, kira-kira 10 individu di ibu negara dan 10 lagi sudah dikesan di Selangor serta beberapa negeri lain.

“Pihak polis akan memastikan mereka yang terlibat diambil tindakan sewajarnya yang mana polis sedang mengumpul bukti keterangan untuk membolehkan dalang-dalang ini diambil tindakan dan didakwa di mahkamah.

“Kalau kita gagal, akan difikirkan alternatif kedua iaitu bertindak melalui undang-undang lain iaitu Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2013 dan AMLA, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001,” katanya dalam sidang media di Maktab PDRM Kuala Lumpur hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengakui tugas mencegah sindiket judi haram dalam talian bukan suatu tugas mudah.

Katanya, polis memerlukan pegawai-pegawai yang mempunyai kepakaran mengendalikan sindiket-sindiket ini supaya ia dapat dikesan dan dibanteras sehingga lubang cacing.

“Kita memerlukan pakar yang boleh mengenalpasti jenis perjudian atas talian yang ada dan permasalahan dari segi siber yang perlu ditangani, supaya premis judi haram dalam talian dapat diserbu serta tuan punya premis dapat ambil tindakan tanpa sebarang ketirisan.

“Untuk tujuan itu kita dalam proses mengumpul pakar perisikan, pakar judi dan pakar siber yang boleh membantu pasukan polis untuk mengumpul segala maklumat tepat sebelum menyerbu sindiket itu tanpa gagal,” tegasnya.

Jelas beliau, operasi ini akan dilaksanakan mengikut fasa yang dirangka polis dalam memerangi sindikt perjudian haram atas talian secara menyeluruh. – MalaysiaGazette