KUALA LUMPUR – Minat mendalam terhadap muzik berkonsepkan ‘funk’ telah menyatukan empat pemuzik daripada kumpulan yang berlainan genre untuk bergabung dalam satu band baharu dikenali sebagai ‘Manusia Putih’.

Kumpulan itu yang mula ditubuhkan pada Mei tahun lepas itu dianggotai penyanyi utama kumpulan 6ixth Sense, Adi Priyo Sambodo (Adi) selain Mohd Mazlan Setapa (Lan) daripada kumpulan Jinbara, Ikhwan Ajwad Rawyani (Juad) daripada Pretty Ugly dan Samuel Maoh (Sam) dari I am NETTA.

Adi berkata nama band itu dipilih berdasarkan cadangan daripada pihak syarikat rakaman NAR Records kerana nama ‘Manusia Putih’ itu mula dikenali melalui nama penanya yang mencipta lagu ‘Kisah Hati’.

“Single pertama lagu ‘Kisah Hati’ nyanyian asal Alyah kami susun semula dalam versi ‘funk’ pada tahun lalu, jadi untuk single kedua ini dan lagu seterusnya, kami akan bawakan genre funk kerana jarang orang buat dan band pun kurang.

“Dalam single kedua ini kami bawakan lagu bertajuk ‘Dilema’ yang telah dipasarkan sejak dua bulan lalu. Muzik dalam lagu ini genre ‘funk’ kerana kami nak (hendak) tunjukkan kepada peminat inilah bentuk muzik ‘Manusia Putih’,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menjadi tetamu rancangan Nine 11, terbitan Bernama News Channel (BNC), di sini hari ini.- BERNAMA