S. Subramaniam

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam hari ini mengesahkan mengenai pemecatan Ketua Cawangan MIC Sri Cahaya Batang Berjuntai yang dikenali sebagai ‘Cikgu Nataraja’.

Menurut Subramaniam, ia ekoran perbuatan tidak ‘senonoh’ lelaki itu menerusi perbualan telefon menggunakan kuasa dan jawatan sebagai guru dan ahli politik meminta seorang gadis bawah umur untuk mengadakan hubungan seks.

“Sejak kebelakangan ini rakaman perbualan telefon seorang individu bernama Nataraja dengan seorang wanita berumahtangga secara tidak senonoh tersebar dalam media sosial dan Whatsapp.

“Selepas lelaki itu disahkan merupakan Ketua Cawangan MIC Sri Cahaya Batang Berjuntai, parti telah memecat keahliannya kerana perbuatannya menjejaskan imej parti.

“Parti telah menyerahkan kepada polis untuk siasatan dan tindakan susulan pihak berkuasa ke atas individu itu,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Lelaki itu difahamkan meminta wanita terbabit menyuruh anaknya melakukan seks dengannya supaya memastikan anaknya lulus  dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan mendapat peluang pekerjaan.

Rakaman suara perbualan itu viral dalam media sosial sehingga menerima kecaman dan kemarahan para netizen yang mahukan tindakan berat diambil ke atas lelaki tersebut.

Lebih mengejutkan lagi, individu itu juga mengakui kepada wanita itu dia pernah meniduri empat pelajar perempuan India turut menyebabkan netizen bertambah marah.- MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.