KUALA LUMPUR – Trafik penumpang penerbangan global bagi bulan September naik 5.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, angka itu adalah paling perlahan dalam kenaikan dari tahun ke tahun sejak Februari lalu.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata, Taufan Irma dan Maria mempengaruhi trend penerbangan global itu.

IATA berkata, kapasiti naik 5.3 peratus dan faktor beban meningkat 0.3 mata peratusan kepada 81.6 peratus, merupakan rekod bagi bulan September.

Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata, pertumbuhan dalam permintaan penumpang pada bulan September adalah baik walaupun terdapat kesan cuaca ekstrem di Amerika.

“Keadaan ekonomi global telah menyokong kenaikan permintaan penumpang, tetapi dengan input kos yang lebih tinggi, rangsangan permintaan daripada tambang rendah merosot,” katanya yang mengunjurkan pertumbuhan sederhana dalam trafik penerbangan. – MalaysiaGazette