GEORGE TOWN – Beberapa kawasan di sekitar Pulau Pinang dilanda banjir kilat mencecah paras 0.2 hingga 0.5 meter dan puluhan pokok tumbang selepas hujan lebat serta angin kuat kira-kira lima jam sejak pukul 2 petang hari ini.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas di Georgetown ialah Kampung Masjid, Jalan P. Ramlee, Sungai Pinang, Jalan Kebun Lama, Lebuh Carnovan, Jalan Anson, Halaman Bukit Gambir serta di Bayan Baru, Bayan Lepas, Batu Ferringghi, Balik Pulau dan beberapa kawasan di Seberang Perai.

Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Timur Laut, paras air sungai di Sungai Pinang, Sungai Air Itam dan Sungai Dondang mencecah paras bahaya dengan bacaan 2.83 Meter di Sungai Pinang, dan 6.58 meter serta 21.88 meter bagi Sungai Air Itam dan Sungai Dondang.

Tinjauan di sekitar Jalan P.Ramlee mendapati rumah penduduk di sekitar kawasan itu dinaiki air sehingga paras pinggang dan kawasan itu kerap dilanda banjir kilat jika berlaku hujan lebat.

Seorang penduduk Abdul Karim Abdul di Jalan P.Ramlee berkata kejadian banjir kilat di kawasan itu hari ini seperti tiada kesudahan kerana boleh dikatakan setiap kali hujan lebat lebih sejam, rumah mereka iazimnya akan dinaiki air. – BERNAMA