Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon (dua kiri) menyampaikan anugerah 'Role Model Pemuda MCA' kepada Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong (dua kanan) pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke 53 di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 04 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon disahkan akan menjadi calon parti itu untuk bertanding dalam PRU-14.

Perkara itu yang disahkan oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyampaikan ucapan perasmian pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke 53 di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 04 NOVEMBER 2017

Menurutnya, Sin Woon merupakan antara ikon kepada golongan muda terutama dalam kalangan masyarakat Cina kerana kelantangan beliau menyuarakan pendapat selama menerajui kepimpinan tertinggi sayap Pemuda MCA.

“Sin Woon bukan sahaja ikon kepada golongan muda ketika ini malah sudah mempamerkan kepimpinan terbaik bukan sahaja dalam kalangan parti malah beliau sudah membuktikan dirinya digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“MCA yakin dengan meletakan beliau dalam satu kerusi Parlimen pada PRU akan datang, kemenangan kita sudah pasti. Beliau telah banyak turun padang menyelesaikan pelbagai isu membabitkan golongan muda dan juga komuniti setempat.

“Tidak cukup dengan itu, beliau juga lantang dalam pentas politik dan mampu berhadapan dengan pelbagai kritikan serta debat politik. Yang pentig, beliau tahu apa kehendak rakyat dan dasar kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pemuda ke-53 di Wisma MCA hari ini.

Terdahulu ketika berucap, Ka Siong turut melahirkan rasa kecewa dengan retorik politik DAP yang hanya memperdayakan rakyat terutamanya masyarakat Cina untuk membenci kerajaan serta MCA.

Jelasnya, DAP tidak berupaya menyelesaikan banyak isu dihadapi oleh masyarakat Cina termasuk soal pendidikan serta hal berkaitan dengan kepentingan komuniti kedua terbesar negara ini.

“DAP pandai bercakap sahaja. Pandai tuding jari kepada MCA sahaja. Tetapi sehingga kini, apakah antara isu yang berjaya diselesaikan oleh mereka? Bagaimana pula dengan pelbagai janji manis yang dikeluarkan oleh mereka selama ini untuk memancing undi.

“Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng suka dabik dada kononnya dia seorang sahaja penyelamat. Isu pendidikan pun tak boleh selesai, akhirnya kami yang selesaikan.

“Guan Eng hanya pandai bercakap kosong dan mempolitikkan isu untuk memenuhi agenda mereka. Kemudian terus menyalahkan MCA atau menanam rasa benci kepada parti ini sedangkan selama berpuluh tahun, MCA banyak berjasa kepada rakyat bukan DAP,” katanya.

Ka Siong turut berikrar MCA akan berjuang bermatian-matian untuk memenangi lebih banyak kerusi, sambil menambah, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Barisan Nasional telah melaksanakan pelbagai dasar pembangunan dan transformasi yang inklusif  memanfaatkan semua komuniti.- MalaysiaGazette